Menu
A- A A+

  W3C   w3c-maroonw3c-grayw3c-gray

Pilih Bahasa

AMANAT PENGARAH 2015

pengarah

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia.

Selamat Tahun Baharu 2015 diucapkan kepada seluruh warga Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah ( PTSB ), khasnya kepada para pegawai kanan, staf akademik, staf sokongan akademik, pelajar-pelajar dan tidak lupa juga kepada para ibu bapa di seluruh negara. Saya yakin anda telah mengorak langkah menyambut tahun baharu ini dengan azam, semangat baru dan kesediaan untuk menjalankan tanggungjawab yang telah disandarkan kepada kita semua. 

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

( Pencapaian 2014 )

Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada anda semua yang telah berusaha dengan gigih dalam melaksanakan segala tugas yang diamanahkan sepanjang tahun lalu. Alhamdulillah tahun 2014 telah kita lalui bersama, menyusuri pelbagai kejayaan, cabaran dan aspirasi. Berikut adalah antara pencapaian PTSB bagi tahun 2014:

1.    Penarafan 5 bintang di dalam penilaian portal/laman web oleh Multimedia Development Corporation (MDeC)

2.    Tier 5 di dalam Penarafan Politeknik (PolyRate)

3.    Penarafan 5 Bintang  oleh Audit MAMPU 1 Malaysia Training Centre (1MTC)

4.    Pensijilan MS ISO 9001 : 2008 – Pemberian Perkhidmatan Pendidikan di Peringkat Diploma Dalam Bidang Kejuruteraan & Perdagangan

5.    Kebolehpasaran graduan politeknik, PTSB 83.2%

6.    Anugerah Pembentangan Poster Terbaik di Malaysia International Robot Competition (MIRoC) 2014

7.    Emas bagi Rekaan Poster Terbaik di Malaysia International Robot Competition (MIRoC) 2014

8.    2 gangsa di International Innovation, Design and Articulation (i-IDeA) 2014

9.    4 emas, 7 perak dan 4 gangsa di National Innovation And Invention Competition Through Exhibition 2014 (iCompEx ’14)

10. 7 emas dan 6 perak di Conference, Competition and Exhibition 2014 (CCE 2014)

11. 2 emas di Konvensyen Kumpulan Inovatif Dan Kreatif (KIK) Peringkat Kebangsaan Politeknik Malaysia 2014

12. Johan Keseluruhan bagi Pertandingan Polytechnic Startup Challenge (Biz Idea & Biz Plan) di Politeknik Ungku Omar 26 – 27 Mac 2014

13. Naib Johan Pertandingan Debat Bahasa Melayu, Politeknik Kementerian Pendidikan Malaysia

14. Johan (Kategori Kumpulan dan Kategori Individu Aset Tertinggi) Pertandingan Catur Bestari, Karnival Keusahawanan Dan Kesenian Islam 2014

15. Tempat Pertama Pertandingan Biss Idea, Program Gerak Usahawan dan ‘Entrepreneurship Race’ 2014,  Politeknik Malaysia

16. Tempat Kedua Pertandingan Pengkisahan Usahawan, Program Gerak Usahawan dan ‘Entrepreneurship Race’ 2014,  Politeknik Malaysia

17. Sukan Institusi Pengajian Tinggi 2014 (SUKIPT) - Pingat Perak dalam acara Karate-Do Kumite - 84Kg

18. Sukan Institusi Pengajian Tinggi 2014 (SUKIPT) - Pingat Perak acara 5000m Wanita

19. Johan Hoki Wanita Majlis Sukan Politeknik 2014

20. Naib Johan Kejohanan Bolasepak 9 Sebelah Staf Politeknik Malaysia 2014

Sungguhpun banyak pencapaian yang telah diperolehi sepanjang tahun lepas, kita tidak harus berpuas hati dengan pencapaian tersebut sahaja malah kita harus meningkatkan dan melipatgandakan usaha untuk melakarkan kejayaan yang lebih cemerlang bagi tahun 2015, Insya Allah.

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

( Pengantarabangsaan dan Kolaborasi )

Kita perlu sentiasa peka terhadap perubahan dan kemajuan di peringkat antarabangsa. Sehubungan dengan itu, langkah proaktif yang perlu diambil adalah dengan memperkasakan jalinan kerjasama di peringkat antaranbangsa. Satu lagi usaha memartabatkan Politeknik Malaysia ke tahap lebih tinggi ialah usaha pengantarabangsaan melalui Dasar Pandang Ke Timur Gelombang Kedua.

Melalui dasar ini, Program Malaysia-Korea High Technology Centre ( MKHTC ) akan  melibatkan tiga buah politeknik dengan kerjasama di dalam bidang kepakaran  masing-masing iaitu PTSB – ( Telecomunication and Robotics ), Politeknik Sultan Azlan Shah ( PSAS ) - ( Automotive ) dan Politeknik Ibrahim Sultan ( PIS ) - ( Information Technology and Media Industry ). Saya amat berharap agar semua pihak akan memberi sokongan padu untuk merealisasikan program pengantarabangsaan ini serta bersedia untuk merebut peluang, tawaran, pengalaman dan ilmu yang bakal kita diterima daripada sebuah negara yang mempunyai pebangunan teknologi yang begitu pesat dan pantas ini.

Permintaan tenaga mahir dalam pasaran pekerjaan di negara kita semakin meningkat saban tahun. Selaras dengan itu, transformasi pendidikan teknikal dan vokasional ( TVET ) akan diteruskan. Perancangan strategik seperti meningkatkan penawaran tempat menerusi kerjasama dengan pihak industri, sektor swasta serta agensi akan giat dilaksanakan agar enrolmen pelajar dalam bidang teknik dan vokasional ( TVET ) dapat ditingkatkan. Bagi tahun 2014 PTSB telah menjalankan kolaborasi dengan beberapa industri, agensi luar serta sekolah bagi membolehkan pemindahan maklumat dan teknologi berlaku dengan lebih terancang dan mapan lagi. Berikut adalah pihak-pihak yang terlibat dengan kolaborasi bersama PTSB:

1. Omron Electronics Sdn. Bhd

2. Agensi Anti Dadah Kebangsaan Daerah Kulim

3. Electrosoft Engineering

4. N.U.R Power Sdn. Bhd

5. Kolej Komuniti Seberang Jaya

6. Saniza & Associate

7. Pak Ali Food Industries Sdn. Bhd

8. Maahad Tahfiz Ibnu Sina

9. Sekolah Menengah Kebangsaan Serdang Baru

10. Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Kenari

11. Sekolah Menengah Kebangsaan Air Merah

12. Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Panglima Besar

13. Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Selasih

14. Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Hi-Tech

15. Kolej Vokasional Kulim

Harapan saya bagi tahun 2015, PTSB akan memperkukuhkan lagi hubungan kerjasama dengan lebih banyak pihak yang berperanan secara efektif bagi memberi nasihat dalam pelbagai bidang terutamanya keperluan industri terhadap guna tenaga kerja, penggunaan teknologi terkini dan penggubalan kurikulum yang memenuhi kehendak pasaran kerjaya masa kini.

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

( Kadar Kebolehpasaran Graduan )

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik, Kementerian Pendidikan Malaysia melalui amanat beliau pada 17 Januari 2015, Tahun 2015 merupakan tahun penyediaan dan perencanaan semula inisiatif Transformasi Politeknik, dengan mengambil kira prestasi dan pencapaian sehingga kini. Kita akan menanda aras kedudukan kita, sama ada politeknik sudah layak bergelar peneraju TVET peringkat serantau, sama ada kita mencapai 85 peratus lulusan politeknik boleh diambil bekerja (employable); dan sama ada 50 peratus lepasan SPM yang layak telah memilih politeknik sebagai pilihan utama untuk melanjutkan pengajian mereka.

Tanggapan sesetengah pihak melabelkan politeknik sebagai sebuah institusi kelas kedua sudah lama lenyap kerana kini politeknik menyediakan program pendidikan TVET yang berkualiti tinggi dan mendapat pengiktirafan akreditasi dari dalam dan luar negara. Graduan politeknik juga menjadi rebutan pemain industri tempatan dan multinasional. Ini menunjukkan politeknik telah berjaya menampilkan reputasi yang baik, namun politeknik perlu melipatgandakan usaha untuk mencapai kadar employability melebihi 85 peratus seperti yang disasarkan. Untuk makluman, hanya dua politeknik iaitu Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah sahaja yang berjaya mengekalkan kadar employability melebihi 80 peratus untuk 3 tahun berturut-turut.

Bagi tahun 2014 kadar kebolehpasaran graduan PTSB adalah sebanyak 83.2 peratus. Di sini sekali lagi saya ingin merakamkan setinggi-tinggi perhargaan buat seluruh warga PTSB di atas kerjasama dan kerja keras anda. Sehubungan itu, usaha yang berterusan dengan memberikan fokus dalam pelbagai aspek, perlu ditingkatkan agar kita berjaya mengatasi sasaran ini secara lebih konsisten pada tahun-tahun mendatang.

Hadirin sekalian,

( Amalan Kampus Hijau )

PTSB menyahut baik saranan Ketua Pengarah, Jabatan Pengajian Politeknik Malaysia untuk menjadikan kampus politeknik sebagai Kampus Hijau yang menekankan konsep 6R iaitu Reuse, Reduce, Renew, Recycle, Repair dan Rethink. Konsep yang baik ini seharusnya dijadikan amalan setiap warga PTSB. Skuad Sukarelawan Kitar Semula telah ditubuhkan dan beberapa siri Program Kitar Semula telah dijalankan dengan jayanya. Program ini bukan sahaja tertumpu kepada staf dan pelajar PTSB sahaja ianya juga melibatkan komuniti dan penduduk di sekitar kawasan PTSB.

Menurut Ketua Pengarah, Jabatan Pengajian Politeknik Malaysia, inisiatif PolyGreen mengintegerasikan pembangunan hijau dalam Pengajaran dan Pembelajaran di politeknik melalui lima aspek seperti:

$11.    Pengurusan Kampus Hijau

$12.    Pembangunan Kurikulum Hijau.

$13.    Pemupukan Komuniti Hijau

$14.    Penyelidikan Hijau dan

$15.    Pembudayaan Hijau

Sebagai salah sebuah institusi pendidikan  yang menerajui teknologi, saya berharap agar warga PTSB, khususnya para pensyarah dapat memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang ada bagi membangunkan suatu sistem yang lestari dalam jangka masa panjang yang dapat membantu menangani fenomena perubahan iklim yang kian meruncing dan seterusnya memastikan alam sekitar kita terpelihara.

Walaubagaimanapun, sehebat mana pembangunan sistem dan teknologi hijau itu sendiri tidak akan berjaya kerana nilai-nilai kelestarian dalam komuniti PTSB sendiri perlu dibudayakan terlebih dahulu.  Contoh yang paling mudah untuk di amalkan adalah menutup suis komputer, lampu, kipas dan penghawa dingin sekiranya tidak digunakan.  Perlaksanaan kampus hijau ini akan menguntungkan daripada segi penggunaan sumber tenaga serta memastikan amalan-amalan terbaik dapat dipraktikkan supaya generasi akan datang dapat menikmati kemudahan seperti yang kita nikmati sekarang.

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

( Amalan Perbelanjaan Berhemat )

Kedatangan tahun 2015 ini hadir bersama kebimbangan kita terhadap keadaan ekonomi berikutan kesan kenaikan kos dan peningkatan harga barang. Sesungguhnya, senario yang sama turut dihadapi dan dirasai dalam pengurusan kewangan PTSB. Sehubungan itu, langkah yang perlu diambil adalah melalui pengamalan konsep perbelanjaan secara berhemah oleh setiap warga PTSB bagi mengimbangi situasi ekonomi yang getir kini.

Pada tahun 2014, prestasi pembelanjaan PTSB ialah 99.89 peratus daripada peruntukkan yang diterima iaitu sebanyak 33,354,256 Ringgit Malaysia. Kecemerlangan pengurusan kewangan ini diharap akan dapat diteruskan bagi tahun 2015 dan tahun tahun seterusnya. Justeru itu saya menyeru seluruh warga PTSB untuk bersama-sama memainkan peranan bagi menjayakan dasar penjimatan ini. Perbelanjaan secara bijak dan berhemah selain membudayakan cara kerja ‘do more with less’ diharapkan dapat dijadikan budaya dalam kalangan warga PTSB sekalian.

Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, ingin saya berpesan kepada diri saya serta seluruh warga kerja PTSB, ingatlah bahawa tanpa pelajar kita tidak akan wujud di sini, PTSB tidak akan dapat beroperasi bahkan tidak ada apa yang boleh kita banggakan. Pelajar adalah merupakan klien dan produk utama yang dihasilkan oleh PTSB. Sehubungan itu kita hendaklah mengutamakan kehendak pelanggan dan pemegang taruh (stakeholder) dengan sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan pendidikan yang terbaik dan sebolehnya mempunyai nilai tambah. Marilah sama-sama kita menghayati sabda Rasulullah S.A.W kepada Muaz bin Jabbal yang bermaksud “Permudahkan dan janganlah menyusahkan, berilah khabar gembira dan janganlah menakut-nakutkan”.

Akhir sekali saya menyeru seluruh warga PTSB untuk bersama-sama saya bagi mengembleng tenaga dalam memberikan khidmat terbaik dalam tahun 2015 ini. Saya berdoa agar segala perancangan yang telah direncanakan pada tahun ini dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Semoga tradisi kecemerlangan ini dapat kita teruskan dalam lembaran yang akan datang dan semoga segala usaha kita mendapat keredhaan daripada Allah SWT.

Wabillahitaufiq Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sekian, terima kasih.

Mej. (K) Mohd Noor Bin Shahudin
Pengarah Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah