Menu
A- A A+

  W3C   w3c-maroonw3c-grayw3c-gray

Pilih Bahasa

AMANAT PENGARAH 2016

pengarah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1Malaysia.

Lafaz penuh kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya kita berjaya mengharungi tahun 2015 dengan penuh cabaran. Walaupun begitu, Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) tetap komited melaksanakan pelbagai inisiatif untuk merealisasikan aspirasi untuk menjadi institusi pilihan serta mengarusperdanakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi) (PPPM).

Sehingga kini Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) telah berjaya melahirkan lebih 11,000 graduan dalam bidang kejuruteraan awam, elektrik, mekanikal dan perdagangan. Sebanyak 11 program pengajian peringkat diploma ditawarkan iaitu Diploma Kejuruteraan Awam, Diploma Geomatik, Diploma Kejuruteraan Elektrik, Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi), Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komputer), Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pembuatan), Diploma Kejuruteraan Mekatronik, Diploma Perakaunan. Diploma Pengajian Perniagaan dan Diploma Pemasaran. PTSB turut menawarkan 2 program pra diploma iaitu Pra Diploma Perdagangan dan Pra Diploma Sains.


Pengiktirafan Dan Penganugerahan

Bagi menjamin kualiti pembelajaran dan pengajaran (P&P) di PTSB, perancangan dan pelaksanaan aktiviti akademik adalah memenuhi keperluan kurikulum pengajian, standard akreditasi dan kerangka kelayakan yang ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia atau lebih dikenali sebagai Malaysian Qualifications Agency (MQA).

Selain daripada itu, pengiktirafan persijilan MS ISO 9001:2008 iaitu Pemberian Perkhidmatan Pendidikan di Peringkat Diploma dalam Bidang Kejuruteraan dan Perdagangan yang telah dianugerahkan kepada PTSB untuk tahun 2015 turut membuktikan bahawa kualiti pendidikan yang ditawarkan oleh PTSB memenuhi standard atau kriteria petunjuk prestasi yang ditetapkan bagi sesebuah institusi pendidikan yang berkualiti setanding dengan pusat pengajian tinggi antarabangsa.

Keputusan pencapaian berdasarkan KPI Politeknik 2014 (PolyPMO) yang telah dijalankan pada 2015, PTSB telah berjaya memperolehi markah sebanyak 96.50. Hasil daripada penarafan ini dapat memberi gambaran terhadap keupayaan dan pencapaian PTSB sebagai salah sebuah institusi pemberi pendidikan teknik dan vokasional, serta pembekal tenaga kerja untuk memenuhi keperluan industri.

Pengiktirafan-pengiktirafan yang telah dianugerahkan kepada PTSB adalah sangat penting demi menjamin masa hadapan graduan-graduan PTSB khususnya bagi memastikan program pengajian yang diambil adalah diiktiraf di peringkat kementerian dan seterusnya memudahkan peluang pekerjaan.

Melalui Penilaian Laman Web Sektor Awam Malaysia 2014, PTSB telah berjaya mengekalkan pemberian penarafan 5 bintang oleh Multimedia Development Corporation (MDeC).


Kebolehpasaran Graduan
Selain daripada itu, PTSB juga menfokuskan kepada kadar kebolehpasaran kerja garaduan yang dihasilkan. Bagi tahun 2015 peratusan kebolehpasaran graduan adalah sebanyak 88.2 peratus, 2014 sebanyak 82.3 peratus, 2013 sebanyak 80.3 peratus dan 2012 sebanyak 83.8 peratus. PTSB berbangga kerana bagi tempoh 4 tahun berturut-turut PTSB telah berjaya mengekalkan kadar kebolehpasaran graduan 80 peratus ke atas dan seterusnya menjadikan PTSB adalah antara politeknik yang tertinggi menyumbang kepada kadar kebolehpasaran graduan. 

Seiring dengan (PPPM) 2015-2025 dan transformasi pendidikan dan latihan negara, Pelan Transformasi Politeknik dilaksanakan dengan hasrat menghasilkan modal insan yang bersifat responsif terhadap keperluan industri dan selari dengan kehendak pembangunan ekonomi negara. Kini Politeknik Malaysia secara umumnya telah menyumbang sebanyak 300,000 daripada 1.5 juta tenaga kerja dalam industri teknikal negara pada. Menjelang 2020 Negara memerlukan 6800,000 pekerja mahir dan politeknik mensasarkan untuk membekal lebih 50 peratus daripada jumlah itu.


Pembudayaan Penyelidikan Dan Inovasi
PTSB selaku sebuah institusi pendidikan yang berteraskan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) turut sama meraisai perubahan ekosistem pendidikan tinggi negara. PTSB akan terus berusaha menjadi penyumbang aktif dalam melestarikan aspirasi pembangunan negara. Antara usaha yang giat dilaksanakan adalah menerapkan budaya penyelidikan dan inovasi dalam kalangan warga PTSB. Usaha ini telah terbukti dengan penghasilan beberapa produk-produk inovasi yang berjaya berada ditahap pra pengkormesialan. 

Salah satu projek inovasi PTSB yang berjaya ialah projek The Development and Application of Solar Energy System to Collect Floating Debris, di mana telah mendapat pengiktirafan pada Anugerah Harta Intelek Negara 2015. Projek ini adalah merupakan sebuah alat bantuan inovasi bagi mengutip sampah terapung di kawasan yang berair dengan menggunakan tenaga solar.

Selain daripada itu, projek inovasi Filtering Apparatus dan projek Terminalia Catappa Crystal Filter juga telah berjaya mendapat pengiktirafan di pertandingan-pertandingan yang berunsurkan inovasi dan rekacipta di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. 

Penyertaan kali pertama Pasukan Robot PTSB di pentas antabangsa membuahkan kejayaan apabila telah berjaya mendapat tempat ke tiga bagi acara Hurocup di 20th FIRA Roboworld Cup & Congress 2015, Daejeon Korea. Kejayaan ini cukup memberikan kebanggaan buat seluruh warga PTSB. 

Pada tahun 2015 juga PTSB telah dipilih sebagai tuan rumah bagi penganjuran Persidangan Pendidikan (Penyelidikan Dan Inovasi) Dalam Pendidikan Dan Latihan Teknikal Dan Vokasional (CiE-TVET). Persidangan anjuran bersama Jabatan Pendidikan Politeknik, Universiti Tun Hussein Onn, Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti dan Management and Science University ini adalah merupakan salah satu platform kepada tenaga akademik untuk mengetengahkan idea, hasil penyelidikan serta penemuan baharu untuk dimanfaatkan oleh para pensyarah, pelajar, industri serta masyarakat.


Lakaran Kejayaan
Pencapaian-pencapaian inisiatif ini akan terus membawa PTSB lebih dekat pada sasaran untuk menjadi sebuah institusi TVET yang cemerlang dan seterusnya dapat melonjakkan reputasi untuk menjadikan PTSB antara institusi TVET pilihan utama.

Melalui projek inovasi The Development and Application of Solar Energy System to Collect Floating Debris juga, PTSB telah berjaya mendapat Anugerah Inovasi Projek Terbaik di dalam International Conference On Environmental Forencics (i-Enforce 2015). i-Enforce adalah pesidangan di peringkat antarabangsa yang dianjurkan sepenuhnya oleh Universiti Putra Malaysia (UPM).

Dalam National Innovation and Invention Competition Through Exhibition 2015 (iCompEx’15) PTSB telah berjaya merangkul 7 pingat emas, 14 pingat perak dan 7 pingat gangsa.

Kejayaan inovasi PTSB juga terserlah melalui penyertaan di dalam Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat Kebangsaan Politeknik Malaysia. Jabatan Kejuruteraan Mekanikal yang diwakili oleh JKM Excel telah berjaya mendapat pingat emas. bagi kategori teknikal di konvensyen ini, dimana ianya turut disertai oleh 37 kumpulan KIK seluruh Politeknik Malaysia. Penyertaan PTSB di Eureka Innovation Exhibition (EIE) 2015 pula, telah berjaya membawa pulang 1 pingat emas dan 2 pingat perak melalui produk inovasi yang telah dihasilkan oleh JKM.

Pasukan MFoRT PTSB telah mengharumkan nama PTSB di Pertandingan Inovasi Proton Politeknik (PIPPo). Pasukan yang diwakili oleh pensyarah dan juga pelajar PTSB ini telah meraih tempat ke-4 daripada 12 politeknik yang bertanding. PROTON PEJA adalah inovasi terkini yang telah dihasilkan oleh MFoRT PTSB yang membawa slogan ‘Inspiring Future’.

PTSB telah menyertai Pertandingan Water Rocket 2015 di Melaka Planetarium Adventure Science Centre pada 14 hingga 15 November 2015. Pertandingan yang dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) ini adalah bertujuan untuk menghasilkan alat bantuan inovasi serta mengembangkan idea berkaitan kajian serta projek inovasi terkini berkaitan Teknologi Robot Roket. PTSB telah berjaya mendapat tempat ke-3 keseluruhan. Pertandingan ini turut disertai oleh IPTA dan IPTS seluruh Malaysia.

PTSB juga terserlah di dalam bidang sukan dan kokurikulum. Pelajar daripada Jabatan Kejuruteraan Awam (JKA) Alifah Ilyana Binti Mohamad telah berjaya mengharumkan nama PTSB apabila berjaya dinobatkan sebagai Pendebat Harapan di Debat Ala Parlimen (Bahasa Melayu) Politeknik Malaysia 2015.

Teoh Kim Ling pelajar PTSB telah dinobatkan sebagai Olahragawati di Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Politeknik Malaysia kali ke-8 setelah berjaya mengungguli 3 pingat emas bagi acara 800m, 1500m dan 3000m. Lebih manis lagi beliau telah mengegar arena kerana turut berjaya memecah rekod baru kejohanan bagi tiga acara tersebut. Selain itu PTSB juga berjaya memenangi emas bagi acara lontar peluru melalui Hairul Anuar Bin Abdul Wahab, dan Shalini A/P Parthiban dalam acara 300m berjalan kaki. Pingat perak pula telah di sumbangkan masing-masing oleh Muhammad Yasir Bin Ibnirislan dalam acara lompat jauh dan Harrish A/L Muthiah bagi acara lempar cakera.

Pasukan Golf PTSB pula telah berjaya mendapat tempat ke-3 keseluruhan bagi acara perseorangan lelaki di Kejohanan Golf Piala Ketua Pengarah Politeknik Malaysia 2015. Kejohanan ini telah diadakan pada 25 hingga 29 Ogos 2015 bertempat di Royal Pahang Golf Club, Pahang.


Kolaborasi Bersama industri
Bagi tahun 2015 PTSB telah menjalankan kolaborasi dengan beberapa industri, agensi luar serta sekolah bagi membolehkan pemindahan maklumat dan teknologi berlaku dengan lebih terancang dan mapan lagi. Berikut adalah pihak-pihak yang terlibat dengan kolaborasi bersama PTSB:

  1. SWCorp Malaysia
  2. GPIBS Berhad
  3. Omron Electronics Sdn. Bhd
  4. Electrosoft Engineering
  5. N.U.R Power Sdn. Bhd
  6. Pak Ali Food Industries Sdn. Bhd
  7. Saniza & Associate
  8. Makers Shop Sdn. Bhd
  9. Renzo Venture
  10. SIRIM Berhad
  11. Cytron
  12. Gates It Solution Sdn. Bhd
  13. JobsMalaysia
  14. Agensi Anti Dadah Kebangsaan Daerah Kulim
  15. Kolej Komuniti Seberang Jaya
  16. Maahad Tahfiz Ibnu Sina
  17. Kolej Vokasional Kulim
  18. Sekolah Menengah Kebangsaan Serdang Baru
  19. Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Kenari
  20. Sekolah Menengah Kebangsaan Air Merah
  21. Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Panglima Besar
  22. Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Selasih
  23. Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Hi-Tech

PTSB akan berusaha untuk memperkukuhkan lagi hubungan kerjasama dengan lebih banyak pihak yang berperanan secara efektif bagi memberi nasihat dalam pelbagai bidang terutamanya keperluan industri terhadap guna tenaga kerja, penggunaan teknologi terkini dan penggubalan kurikulum yang memenuhi kehendak pasaran kerjaya masa kini.

Saya menyanjung tinggi sumbangan dan kerja keras warga PTSB dalam melaksanakan inisiatif-inisiatif yang telah dirancang dengan penuh tanggungjawab, dan saya berharap setiap warga akan terus gigih mencurahkan idea dan usaha pada masa akan datang. Ringkasnya, setelah cabaran 2015 telah berjaya diharungi dan semoga ianya menjadi asas bagi kejayaan yang lebih besar pada tahun akan datang.

 

Selamat maju jaya.

Mej. (K) Mohd Noor Bin Shahudin
Pengarah Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah